Dilantik sebagai Yang DiPertuan Besar Yamtuan Antah ibni Almarhum Yamtuan Radin

Dengan kejayaan itu pada awal 1875, Residen British pertama dilantik di Sungai Ujong, PJ Murray dilantik untuk membantu Datuk Kelana memerintah. Pembesar lain di Negeri Sembilan jelas tidak setuju dengan dasar berkenaan. Bagi mereka, tindakan Datuk Kelana membawa masuk British ke Sungai Ujong umpama mengundang penjajah untuk menjajah negeri mereka. Hari berikutnya memperlihatkan Datuk Kelana masih tidak menghiraukan pandangan pembesar lain. Lalu pakatan pembesar menabalkan Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Seri Menanti yang mana jajahan itu meliputi Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol. Tindakan Datuk Kelana membenarkan British bertapak di Sungai Ujong mengeruhkan hubungan antara dirinya dengan pembesar lain termasuk Yamtuan Antah. Yamtuan Antah akhirnya tidak mengiktiraf Datuk Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong. Pada pertengahan 1875, di bawah lindungan British, Datuk Kelana mengisytiharkan Terachi yang terpisah oleh Bukit Putus, sebagai sebahagian daripada wilayahnya miliknya iaitu Sungai Ujong sekali gus mencetus api pertelingkahan dengan Yamtuan Antah. Datuk Kelana dan British bertindak melantik orangnya sebagai pemerintah Terachi dengan anggapan daerah itu sudah menjadi milik mereka pada November tahun yang sama. Yamtuan Antah yang semakin berang kemudian memecat Datuk Pemerintah Terachi yang dilantik Datuk Kelana. Residen British, Murray yang berpihak kepada Datuk Kelana mengganggap perbuatan Yamtuan Antah itu sebagai mengganggu daerah pemerintahan Datuk Kelana dan melanggar undang-undang. Pada 27 November 1875, Murray ke Terachi bersama 20 askar diketuai Leftenan Hixman selain 30 polis dan masing-masing seorang doktor dan seorang jurubahasa Australia bernama Dominic Daly ke Terachi, tetapi tidak mendapati tiada kekacauan berlaku di kawasan itu. Sehari kemudian, Murray kembali ke Sungai Ujong tetapi Daly ditinggalkan di Terachi untuk mengukur jarak antara Kampung Terachi dengan Kuala Pilah. Di tepi sebatang sungai, Daly bertemu sekumpulan penduduk seramai 200 orang yang menuntut lelaki asing itu dan orang-orangnya balik ke Sungai Ujong. Daly ketakutan, dia segera minta bantuan kepada Murray di Sungai Ujong dan Residen itu segera dimaklumkan kepada Yamtuan Antah.